Friday, June 28, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    ‘Suu Kyi dalam kesihatan yang baik’

    YANGON, 21 JUN – Pemimpin demokrasi Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi, berada dalam ‘kesihatan yang baik’, jurucakap junta memberitahu AFP kelmarin, sehari selepas pemenang Nobel itu meraikan ulang tahunnya yang ke-79 dalam tahanan tentera.

    Suu Kyi ditahan oleh tentera sejak kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2021, menyebabkan negara Asia Tenggara itu berada dalam kekacauan.

    Pemenang hadiah Nobel itu sedang menjalani hukuman 27 tahun yang dijatuhkan oleh mahkamah junta selepas perbicaraan yang dikutuk oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai penipuan untuk menyingkirkannya daripada politik.

    “Beliau berada dalam keadaan sihat setakat yang saya tahu dan tinggal di tempat yang kami aturkan untuknya sebelum ini,” kata jurucakap junta Zaw Min Tun kepada AFP, tanpa memberikan butiran.

    Suu Kyi telah ditahan di pekarangan penjara yang dibina khas di ibu kota yang dibina tentera, Naypyidaw.

    Gambar menunjukkan ahli kumpulan Angkatan Pertahanan Rakyat Perbandaran Thabeikkyin bergambar dengan bunga ros dan poster semasa meraikan ulang tahun Suu Kyi ke-79 pada 19 Jun. – AP

    Jurucakap junta tidak menyatakan di mana Suu Kyi kini ditahan.

    Pada April lalu, junta berkata dia telah diberi ‘penjagaan yang diperlukan’ kerana suhu di Naypyidaw mencecah 40 darjah Celsius.

    Suu Kyi, yang kekal popular di Myanmar, banyak disembunyikan daripada pandangan awam sejak rampasan kuasa, hanya muncul dalam gambar kasar media kerajaan yang diambil semasa prosiding mahkamah.

    Media tempatan melaporkan bahawa semasa perbicaraannya selama berbulan-bulan, Suu Kyi telah mengalami pening, muntah dan ada kalanya tidak dapat makan kerana jangkitan gigi.

    Anak lelakinya, Kim Aris, Rabu lalu memberitahu AFP bahawa dia prihatin tentang keadaan ibunya, memandangkan usianya dan masalah kesihatan yang berterusan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea S, AS dan Jepun mula latihan ketenteraan

    SEOUL, 27 JUN - Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun memulakan latihan ketenteraan baharu hari ini, kata Ketua Turus Tentera Seoul, ketika sekutu-sekutu...