Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Suu Kyi dinafikan daripada terima rawatan

    BANGKOK, 8 SEPT – Bekas pemimpin Myanmar yang dipenjarakan, Aung San Suu Kyi menderita gejala tekanan darah rendah termasuk pening dan hilang selera makan, tetapi telah dinafikan daripada menerima rawatan di kemudahan yang berkelayakan di luar sistem penjara, kata seorang pekerja perubatan hari ini.

    Suu Kyi, 78, yang ditahan pada Februari 2021 apabila tentera merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih, jatuh sakit lewat bulan lalu, kata pekerja perubatan, yang bercakap tanpa ingin identitinya didedahkan kerana bimbang dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa tentera.

    Secara berasingan, seorang pegawai tentera yang juga tidak mahu didedahkan identitinya telah mengesahkan laporan oleh BBC Myanmar bahawa Suu Kyi mengalami sakit gigi yang teruk dan menyebabkannya tidak dapat makan dan muntah-muntah.

    Walau bagaimanapun, jurucakap majlis tentera yang memerintah, Mejar Jeneral Zaw Min Tun, berkata Suu Kyi berada dalam keadaan sihat, kata laporan itu. BBC melaporkan bahawa anak lelaki Suu Kyi, Kim Aris, yang menetap di Britain, memberi respons kepada laporan dengan teks yang menyatakan, “Untuk menafikan akses tahanan yang sakit daripada menerima rawatan perubatan yang disarankan adalah tidak berperasaan dan kejam.”

    The Associated Press cuba menghubungi jabatan penjara Myanmar untuk mendapatkan sebarang kenyataan namun panggilan tersebut tidak dijawab.

    Suu Kyi sedang menjalani hukuman penjara 27 tahun selepas disabit dengan beberapa tuduhan jenayah yang dikatakan oleh penyokong dan penganalisis bebas untuk memburukkan reputasinya dan mengesahkan rampasan kuasa tentera.

    Suu Kyi pada mulanya menerima hukuman keseluruhan 33 tahun tetapi Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, ketua pemerintah tentera, memberikan pengampunan dalam lima kes dan mengurangkan hukumannya selama enam tahun sebagai sebahagian daripada pengampunan yang lebih luas bagi lebih daripada 7,000 orang tahanan sempena percutian agama Buddha pada bulan Ogos. – AP

    Suu Kyi menderita gejala tekanan darah rendah termasuk pening dan hilang selera makan, tetapi telah dinafikan daripada menerima rawatan di kemudahan yang berkelayakan di luar sistem penjara. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Banjir kilat bunuh 8, 23 askar hilang

    NEW DELHI, 5 OKT - Hujan lebat secara tiba-tiba mencetuskan banjir kilat kelmarin di timur laut India yang membanjiri beberapa bandar, menghanyutkan sebuah jambatan...