Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suu Kyi, pakar ekonomi Australia dipenjara 3 tahun

    YANGON, 29 SEPT – Mahkamah tentera di Myanmar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi serta penasihat ekonominya, warga Australia, atas tuduhan melanggar akta rahsia rasmi.

    Suu Kyi dan profesor Sean Turnell (gambar bawah-AP) disabitkan bersalah oleh Mahkamah Daerah Pyinmana atas pertuduhan melanggar akta rahsia rasmi, selepas 18 bulan perbicaraan, lapor agensi Anadolu memetik media tempatan Myanmar Now pada Khamis.

    Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara yang sama ke atas bekas anggota Kabinet Suu Kyi, termasuk Menteri Kewangan, Kyaw Win, penggantinya Soe Win, dan timbalan menteri Set Aung atas pertuduhan yang sama.

    Awal bulan ini, Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas pertuduhan penipuan dalam pilihan raya.

    Suu Kyi kini berdepan sabitan penjara 23 tahun sejak tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu.

     

    Pada Jun, rejim tentera memindahkannya ke penjara dan meletakkannya dalam kurungan bersendirian.

    Selepas rampasan kuasa tentera pada 24 Februari 2021, Suu Kyi diletakkan di bawah tahanan rumah sehingga April tahun ini, sebelum dipindahkan ke lokasi yang tidak diketahui, dipercayai Penjara Naypyitaw.

    Wanita itu berhadapan lebih sedozen pertuduhan, termasuk rasuah.

    Bagi kes rasuah, beliau disabitkan dengan hukuman penjara lima tahun pada April.

    Sebelum ini Suu Kyi menghabiskan kira-kira 15 tahun di bawah tahanan rumah semasa rejim junta berbeza di negara majoriti Buddha itu.

    Suu Kyi dipenjarakan untuk kali kedua sejak 2009. Rejim junta ketika itu memindahkannya ke Penjara Insein Yangon selama empat bulan pada awal tahun itu kerana “melanggar peraturan tahanan rumahnya.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda