THE HAGUE, 10 DIS – Pemenang hadiah keamanan Nobel Aung San Suu Kyi tiba di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini untuk mempertahan Myanmar terhadap tuduhan genosid.
Memakai pakaian tradisional Burma, pemimpin awam Myanmar itu tiba di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)di The Hague dalam konvoi kereta bersama pengiring polis bermotosikal tanpa bercakap kepada media yang sedang menunggu.
Kes itu, dikemukakan oleh negara Afrika barat Gambia, adalah percubaan pertama untuk membawa Myanmar ke muka pengadilan disebabkan tindakan keras tenteranya pada 2017 ke atas penduduk minoriti Islam Rohingya.
Suu Kyi pernah disamakan taraf dengan Nelson Mandela dan Mahatma Gandhi, namun reputasi antarabansga beliau telah tercemar kerana berdiam diri berhubung masalah Rohingya, dan pertahanan beliau terhadap jeneral yang sama yang pernah meletakkan beliau dalam tahanan di rumah.
Kes itu juga akan disaksi di Bangladesh, di mana kira-kira 740,000 Rohingya dipaksa melarikan diri ke kem akibat kempen berdarah di negeri barat laut Myanmar Rakhine.

“Saya menuntut keadilan daripada dunia,” kata Nur Karima, seorang pelarian Rohingya di mana adik dan datuknya terbunuh dalam pembunuhan di kampung Tula Toli pada Ogos 2017.
“Saya mahu melihat penjenayah dihukum gantung. Mereka membunuh kami tanpa belas kasihan,” beritahu Saida Khatun, seorang lagi pelarian dari Tula Toli, kepada AFP.
Penyiasat PBB pada tahun lalu menganggap tindakan keras ke atas Rohingya sebagai genosid.
Perbicaraan tiga hari itu pastinya perbicaraan bersejarah untuk ICJ, yang ditubuhkan pada 1946 untuk mengadili pertikaian di antara negara anggota PBB.
Gambia, bertindak bagi pihak 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam, dijangka bercakap hari ini. Ia mendakwa Myanmar melanggar Konvensyen Genosid 1948. Ia akan meminta langkah kecemasan dari mahkamah untuk menghentikan ‘tindakan genosid berterusan Myanmar.’ – AFP