BEIJING, 27 JUN – Pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, Xiaomi, menerima hampir 300,000 pra-tempahan dalam tempoh satu jam untuk model SUV pertamanya, dalam apa yang digambarkan syarikat itu sebagai detik ‘ajaib’ untuk industri automotif.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Jun, berkata beliau terkejut dengan sambutan yang diterima daripada para pelanggan.
“Dalam hanya dua minit, kami menerima 196,000 pra-tempahan berbayar dan 128,000 pesanan sah,” kata Lei dalam satu video yang diedarkan selepas pelancaran kenderaan itu pada malam kelmarin.
“Kita mungkin sedang menyaksikan satu keajaiban dalam industri automotif China.”
Bahagian EV syarikat itu kemudian memaklumkan menerusi akaun rasmi Weibo bahawa mereka telah menerima sebanyak 289,000 pra-tempahan untuk model lima tempat duduk YU7, yang ditawarkan pada harga bermula 253,500 yuan (kira-kira AS$35,000), dalam tempoh satu jam pertama selepas jualan dibuka.
Saham Xiaomi melonjak sebanyak lapan peratus ke paras tertinggi baharu di Hong Kong selepas lonjakan pesanan awal tersebut.
Syarikat teknologi komersial berpangkalan di Beijing itu memulakan usaha pengeluaran kereta dengan model SU7 EV pada tahun lalu, sebagai sebahagian daripada dorongan industri untuk merancakkan penggunaan domestik.
Namun, semangat awal terhadap ciri pemanduan pintar kenderaan tersebut tercalar selepas kemalangan maut melibatkan model SU7 Xiaomi pada bulan Mac. Kenderaan itu berada dalam mod pemanduan bantuan sebelum kemalangan berlaku, mengorbankan tiga pelajar.
Perdana Menteri Li Qiang menggunakan Forum Ekonomi Dunia di Tianjin minggu ini untuk menggariskan cita-cita China untuk menjadi ‘kuasa penggunaan utama, dengan menekankan dasar yang merangsang permintaan terhadap barangan bernilai tinggi seperti kenderaan elektrik. – AFP


