Oleh Syahmi Hassan
TEMBURONG, 28 NOV – Sebagai salah satu inisiatif berterusan dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini, Kementerian Kesihatan telah menjalankan Operasi Swab Sweep, iaitu pelaksanaan swab besar-besaran secara rambang dalam masyarakat, dengan melibatkan penduduk Kampung Kenua, Mukim Bokok, Daerah Temburong, hari ini.
Operasi tersebut telah diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19 (N3C19) dengan melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB); Task Force Support Group Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; pasukan-pasukan dari Kementerian Kesihatan iaitu Pasukan Swab Bergerak dan Pasukan Community Isolation Centre (CIC) PKBN Temburong; serta kerjasama daripada Pejabat
Daerah Temburong dan ketua Kampung Kenua.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan mengongsikan bahawa seramai 118 orang penduduk Kampung Kenua telah menjalani ujian saringan swab RT-PCR SARS-
CoV-2 di CIC PKBN.
Operasi yang dikendalikan itu adalah sebahagian daripada saringan untuk mengenal pasti jika terdapatnya kes-kes COVID-19 dalam komuniti.
Kementerian Kesihatan turut mengongsikan bahawa operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dan dikendalikan oleh agensi-agensi kerajaan yang diterajui oleh N3C19.