Wednesday, October 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swafoto ‘bonus’ di dunia

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Swafoto bukanlah satu perkara baru di dalam kehidupan kita, bahkan ia merupakan satu gambaran dalam kehidupan kita seharian.

    Namun dalam berswafoto, hendaklah kita mengambil kira aspek kebaikan dan keburukan, sama seperti imbasan dalam kehidupan kita.

    Perkara ini ditekankan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar semasa menyampaikan tazkirah Subuh yang bertajuk ‘Swafoto Satu Bonus’ sempena Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

    Menurutnya, memori manusia umpama swafoto yang mampu mengimbas apa yang dilihat di depan mata, sama seperti teknologi yang mampu menyimpan segalanya.

    “Ia bermula dengan sebesar-besar barang kepada sekecil-kecil barang dan dalam hal memori, kita memiliki sekecil-kecil memori sehingga sebesar-besar memori. Bonus ini pula Allah kurniakan kepada kita bermacam-macam jenis iaitu ‘bonus’ dunia dan ‘bonus’ akhirat.

    Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bersama jemaah lainnya ketika hadir mendengarkan tazkirah Subuh sempena Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’.

    Memori ini adalah ‘swafoto’ kita dan ia merupakan satu ‘bonus’ dalam kehidupan kita sehari-hari kerana daripada swafoto ini, ia dapat memberi gambaran kepada diri kita bagi menilai serta menjadi cermin untuk menjadi yang lebih baik dan mencegah diri kita daripada kemungkaran dan kemurkaan Allah Subhanahu Wata’ala, ujarnya lagi.

    Tambahnya, ’bonus’ akhirat pula ialah sesuatu yang Allah sembunyikan supaya manusia ini akan sentiasa dahaga akan pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

    Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program berkenaan ialah Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Roslan bin Haji Tajaah.

    Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ kelolaan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ‘Ali Saifuddien merupakan satu program mingguan dan ajakan bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah mendirikan solat Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu.

    Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan dengan melibatkan diri dalam sama-sama menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda