BATU GAJAH, 19 JULAI – Swafoto terakhir suami isteri, Mohd Ramddan Abd Rahim dan Kisdalliana Saad sebelum maut dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu, 10 Julai lepas, kini menjadi kenangan buat ibu serta empat anak pasangan itu.
Noraini Ahmad, 63, yang merupakan ibu Mohd Ramddan berkata Allahyarham tidak gemar berswafoto sebelum ini, namun sempat berswafoto bersamanya, Kisdalliana serta anak bongsu, Nur Fatin Najihah, 7, sejak dari rumah dan sepanjang perjalanan mereka menaiki kereta Proton Perdana ke Gopeng.
“Ketika kami singgah makan di Batu Gajah, dia (Mohd Ramddan) juga mahu berswafoto. Itu rupanya tanda dia dan isteri (Kisdalliana) akan pergi (meninggal dunia),” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Serkai Jadi, Tronoh hari ini.
Kemalangan kira-kira 5:20 petang itu menyebabkan Mohd Ramddan, 44, dan Kisdalliana, 43, yang merupakan penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala Noraini yang memandu kereta Proton Perdana berkenaan dan Nur Fatin Najihah mengalami cedera parah.
Menurut Noraini kejadian berlaku semasa mereka sekeluarga dalam perjalanan menghantar barang yang dibeli untuk seorang anak pasangan itu, Nur Fatin Syafikah, 18, yang baru mendaftar di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng.
Katanya kereta itu terbabas melanggar pagar sebuah premis ketika dia mahu mengelak anjing yang melintas sebelum pitam dan sejurus sedar, dia mendapati dirinya sudah berada di hospital. – Bernama


