KUCHING, 6 DIS – Sarawak akan mendirikan Taman Bio-Industri pertamanya di bahagian Kota Samarahan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, usaha itu adalah bagi menarik lebih ramai pelabur luar bagi menghasilkan produk berasaskan bio secara komersial.
“Saya melihat bahawa Majlis Biodiversiti Sarawak (SBC) telah memainkan peranan penting menerusi dokumentasi ilmu tradisional dan kempen bersama dengan pemain utama dalam R&D (penyelidikan dan pembangunan), bagi memanfaatkan penemuan biodiversiti yang boleh dikomersialkan,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Penyelidikan Sains dan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong semasa jamuan malam sempena ulang tahun ke-21 SBC di sini, malam ini.
Bagaimanapun, Abang Johari tidak menyatakan bila taman itu akan dibina.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Biodiversiti Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot berkata, Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan kira-kira 100 ekar (kira-kira 40.5 hektar) tanah untuk mendirikan Taman Bio-Industri itu. – Bernama