S’wak antara negeri beralih ke Fasa 3 PPN

KUALA LUMPUR, 2 OGOS – Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan beralih ke Fasa Tiga Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Rabu ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Muhyiddin berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya petang tadi berikutan ketiga-tiga negeri itu menunjukkan prestasi yang amat baik.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan… suka untuk saya mengingatkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambah baik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara, lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya… kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kemudahan untuk sektor ekonomi dan individu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan diumum pada waktu terdekat.

Beliau berkata perkara itu perlu diperhalusi bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Insya-Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat,” katanya.

Muhyiddin turut menekankan bahawa strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar. 

“Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat,” katanya. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya hari ini.
Sidang hari ini bersetuju, tiga buah negeri iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu, 4 Ogos 2021. – Bernama