S’wak lulus RM250j tubuh arkib sejarah

SIBU, 21 OKT – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM250 juta bagi menubuhkan sebuah arkib untuk menempatkan bahan bersejarah negeri itu yang kebanyakannya pada masa ini berada di luar negara.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak berhasrat membawa pulang kesemua bahan terbabit, antaranya dokumen-dokumen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 yang pada masa ini disimpan di London.

“Arkib ini akan dihubungkan dengan perpustakaan di Sibu dan Miri melalui jaringan Internet agar masyarakat berpeluang membuat rujukan tentang sejarah Sarawak.

“Mereka yang perlukan maklumat lanjut boleh datang sendiri ke arkib ini,” kata Abang Johari ketika merasmikan Pustaka Negeri Sarawak Sibu di Jalan Tun Tuanku Bujang di Sungai Merah, di sini hari ini.

Katanya kewujudan arkib itu juga membolehkan Sarawak bertukar-tukar dokumen dengan perpustakaan dari seluruh dunia yang memiliki artikel berkaitan Sarawak.

Beliau juga berkata penubuhan perpustakaan tradisional dan digital mesti seiringan memandangkan institusi itu penting bagi pembangunan ekonomi negara.

“Kami sememangnya memberi perhatian kepada perpustakaan dan kini dalam proses menstrukturkan semula organisasi itu dengan meletakkannya di bawah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).” – Bernama