Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    S’wak minta kuasa Persekutuan untuk lantik jemaah PPN, PPK

    KOTA SAMARAHAN, 25 SEPT – Kerajaan Sarawak meminta supaya kerajaan Persekutuan mengembalikan kuasa bagi pelantikan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Persatuan Peladang Negeri (PPN) dan Persatuan Peladang Kawasan (PPK) di negeri itu.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata selain untuk menunaikan syarat di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kuasa melantik yang dipegang kerajaan negeri ini akan dapat mempercepatkan lagi proses pembangunan sektor pertanian di Sarawak.

    Berucap pada Majlis Perasmian Bangunan PPN Sarawak di sini hari ini, beliau berkata kerajaan Persekutuan sudah pun menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melantik lembaga pengarah Persatuan Nelayan Sarawak. 

    “Kalau ikan (persatuan nelayan negeri) sudah dapat kuasa, berilah kuasa kepada Persatuan Peladang (Negeri dan Kawasan),” katanya. 

    Beliau berkata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi akan berbincang dengan Peguam Besar Sarawak Datuk Saferi Ali bagi memperincikan lagi permintaan ini untuk dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan. 

    Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang berucap dalam majlis sama berkata sebelum ini, menteri bertanggungjawab bagi pertanian di Sarawak diberi kuasa untuk melantik AJP untuk PPN dan PPK.

    Bagaimanapun, kuasa itu telah ditarik balik pada 2018 dan diletakkan di bawah kuasa Menteri Pertanian Malaysia, biarpun pertanian diletakkan di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan, kata beliau. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi ucapan pada Majlis Perasmian Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya Kuching, pada 22 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda