Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sweden benarkan polis sita aset tanpa bukti sah

    STOCKHOLM, 8 NOV – Sweden hari ini meluluskan undang-undang yang membenarkan pihak polis merampas barangan mewah daripada orang, walaupun mereka tidak disyaki terlibat dalam sebarang jenayah, sekiranya mereka gagal membuktikan barangan itu diperoleh secara sah.

    Langkah itu, yang diluluskan oleh parlimen pada 2 Oktober, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan sayap kanan untuk membanteras kumpulan jenayah terancang di negara itu.

    Undang-undang tersebut memberi kuasa kepada polis untuk merampas kereta, jam tangan emas dan barangan berjenama daripada individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan geng jenayah, sekiranya barangan tersebut dipercayai dibeli menggunakan hasil
    aktiviti haram, meskipun individu tersebut tidak secara rasmi disyaki melakukan jenayah.

    Sebagai contoh, kenderaan sukan mewah yang dipandu oleh individu penganggur tanpa pendapatan sah yang tidak dapat menjelaskan cara pembeliannya boleh dirampas.

    “Ini mengenai penyitaan barangan yang jelas berkait dengan jenayah,” kata Perdana Menteri Ulf Kristersson dalam sidang media minggu ini, sambil menyifatkan undang-undang baharu itu sebagai ‘reformasi terbesar sejak kod jenayah diperkenalkan’ pada tahun 1965.

    Sweden kini berdepan peningkatan insiden tembakan dan pengeboman yang berkaitan kumpulan geng sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang dikaitkan dengan perselisihan dan pergelutan mengawal pasaran dadah haram.

    Pada 2023, negara itu merekodkan 53 kematian dalam 363 kejadian tembakan, yang semakin banyak berlaku di tempat awam dan kadangkala melibatkan mangsa tidak bersalah seperti pejalan kaki.

    Keluarga anggota geng turut menjadi sasaran dalam pembunuhan balas dendam, manakala pelakunya sering kali remaja bawah umur yang diupah sebagai pembunuh upahan, iaitu 15 tahun.

    Undang-undang baharu itu turut terpakai kepada individu di bawah umur 15 tahun. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda