Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sweden mahu perketat sempadan berikutan insiden bakar Al-Quran

    STOCKHOLM, 1 OGOS – Kerajaan Sweden hari ini berkata bahawa mereka berhasrat untuk memperketatkan kawalan sempadan berikutan keadaan keselamatan yang semakin teruk berikutan beberapa protes yang melibatkan pencemaran Al-Quran.

    Ketegangan telah memuncak antara Sweden dan negara-negara Islam berikutan beberapa protes yang melibatkan penghinaan awam terhadap Al-Quran termasuk membakar beberapa helai muka surat.

    “Individu yang mempunyai hubungan yang lemah dengan Sweden sepatutnya tidak boleh datang ke Sweden untuk melakukan jenayah,” kata Perdana Menteri, Ulf Kristersson pada sidang akhbar, sambil menambah keputusan rasmi untuk meningkatkan kawalan sempadan dijangka akan diumumkan pada Khamis.

    Kelmarin, dua lelaki Iraq, Salwan Momika dan Salwan Najem membakar kitab suci umat Islam pada satu protes di hadapan parlimen Sweden.

    Kedua-dua mereka sebelum ini mengadakan protes serupa di luar masjid utama Stockholm dan kedutaan Iraq di ibu negara Sweden, yang menyebabkan kemarahan dan kecaman yang meluas.

    Bantahan tersebut mendorong penunjuk perasaan Iraq menyerbu kedutaan Sweden di Baghdad dua kali dan menyebabkan kebakaran di dalam kawasan itu kali kedua.

    Minggu lalu, Sweden mengarahkan 15 badan kerajaan termasuk angkatan tentera, beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang dan pejabat cukai untuk mengukuhkan usaha antikeganasan.

    Menteri Kehakiman, Gunnar Strommer berkata pemeriksaan sempadan yang diperketatkan merujuk kepada kawalan sempadan dalaman yang bermaksud pemeriksaan sempadan untuk orang yang melancong ke Sweden dari negara Schengen lain. – AFP

    Anggota polis berdiri di sebelah penunjuk perasaan antaranya seorang penunjuk perasaan yang memegang bendera Iraq, di dataran Mynttorget di Stockholm, Sweden, 31 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda