HELSINKI, 28 OKT – Kerajaan Sweden mengumumkan langkah baharu yang membolehkan kanak-kanak berusia antara 13 dan 14 tahun yang disabitkan dengan kesalahan jenayah serius dikenakan hukuman penjara di unit khas remaja.
Berdasarkan draf cadangan undang-undang yang diumumkan kelmarin, langkah itu bertujuan menurunkan had umur tanggungjawab jenayah daripada 15 tahun kepada 13 tahun bagi kesalahan berat yang membawa hukuman penjara minimum empat tahun atau lebih.
Inisiatif itu dilaksanakan selaras dengan mandat Perkhidmatan Penjara dan Parol Sweden untuk menubuhkan penjara khas juvana, yang dijangka siap menjelang 1 Julai 2026, menurut kenyataan kerajaan.
Langkah itu merupakan susulan kajian kerajaan pada 2023 berhubung pelaksanaan hukuman tahanan bagi pesalah muda.
Kajian itu mencadangkan agar hukuman pemulihan tertutup digantikan dengan hukuman penjara di unit khas juvana yang beroperasi dalam penjara sedia ada.

“Menurunkan had umur tanggungjawab jenayah bagi kesalahan paling serius amat diperlukan. Ia penting untuk memperkukuh keadilan kepada mangsa, melindungi masyarakat, dan membantu kanak-kanak keluar daripada kitaran jenayah,” kata Menteri Kehakiman Gunnar Strommer, dalam kenyataan itu.
Jurucakap dasar undang-undang Parti Demokrat Kristian Sweden, Torsten Elofsson, berkata bilangan remaja seawal usia 13 hingga 14 tahun yang terlibat dalam jenayah ganas meningkat dengan ketara, sekali gus menuntut tindakan tegas serta langkah pencegahan yang lebih berkesan.
“Apabila remaja berusia 13 atau 14 tahun berlegar membawa senjata automatik, masyarakat mesti bertindak tegas. Demi keselamatan orang lain, mereka boleh dipenjarakan.
“Langkah ini memberi peluang untuk menghentikan keganasan berterusan dan membantu anak-anak ini sebelum terlambat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman, Henrik Vinge.
Draf itu turut meliputi kes cubaan, persiapan serta hasutan melakukan jenayah berat. – Bernama

