Thursday, November 14, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sweden tutup siasatan letupan paip gas Nord Stream

    COPENHAGEN, 7 FEB – Pegawai Sweden berkata hari ini mereka telah memutuskan untuk menutup siasatan mereka terhadap letupan pada September 2022 di saluran paip gas Nord Stream yang dibina untuk membawa gas asli Rusia ke Jerman, dengan mengatakan mereka tidak mempunyai bidang kuasa.

    Siasatan Sweden hanyalah salah satu daripada tiga siasatan terhadap letupan itu. Denmark dan Jerman juga sedang meneliti letupan berkenaan.

    Serangan itu, yang berlaku ketika Eropah cuba mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga Rusia berikutan pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine, menyumbang kepada ketegangan yang berlaku selepas bermulanya peperangan. Sumber sabotaj tersebut masih menjadi misteri besar antarabangsa.

    Pendakwa raya, Mats Ljungqvist dari Pihak Berkuasa Pendakwaan Sweden berkata dalam satu kenyataan ‘siasatan telah dijalankan secara sistematik dan menyeluruh’.

    “Berdasarkan latar belakang situasi yang kami hadapi sekarang, kami boleh menyatakan bahawa bidang kuasa Sweden tidak terpakai,” katanya.

    Ljungqvist menambah “siasatan Jerman diteruskan dan disebabkan kerahsiaan yang wujud dalam kerjasama undang-undang antarabangsa, saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai kerjasama yang telah berlaku”.

    “Saya juga tidak akan dapat mengulas apa-apa lagi mengenai kesimpulan siasatan Sweden atau mengulas mana-mana orang yang disyaki dalam siasatan Sweden,” kata Ljungqvist.

    “Kami mempunyai kerjasama yang mendalam dengan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Jerman. Dalam rangka kerjasama undang-undang ini, kami dapat menyerahkan bahan yang boleh digunakan sebagai bukti dalam siasatan Jerman,” katanya. – AFP

    Paip di kemudahan pendaratan saluran paip gas ‘Nord Stream 2’ di Lubmin, utara Jerman, pada 15 Februari 2022.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda