Kehidupan sebagai anak seni sering dikaitkan dengan populariti dan kemewahan meskipun realitinya ia jauh daripada apa dibayangkan kerana seorang artis itu juga manusia biasa yang ada ketikanya terpaksa mengharungi kepayahan dalam hidup mereka.
Begitu juga dengan kumpulan Sweet Child yang pernah popular pada era 1990an, kejayaan mereka kecapi juga datang dengan 1,001 cabaran yang ada di antaranya cukup sukar ditelan demi menghiburkan peminat.
Vokalisnya Acong atau Ahmad Fauzi Manat, 50, berkata, kejadian mereka ditipu penganjur bukan perkara baharu dalam rencah karier mereka namun kerana minat terhadap dunia nyanyian membuatkan mereka tidak pernah serik meskipun diperalat pihak tidak bertanggungjawab.
Paling diingati, kata Acong apabila mereka ditipu sehingga terpaksa menanggung hutang ketika mengadakan persembahan di sebuah funfair sekitar 20 tahun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Acong berkata, bayaran diberikan penganjur tidak seperti dijanjikan menyebabkan kelima-lima anggota Sweet Child pulang dengan pendapatan RM20 seorang.
“Banyak kenangan pahit, zaman paling saya ingati adalah ketika kami buat persembahan di funfair, dapat bayaran tapi tak cukup nak bayar sewa van sampai terpaksa guna duit sendiri.”
Dalam pada itu, imbau Acong, penganjur juga pernah melarikan diri membawa wang kutipan persembahan yang sepatutnya menjadi milik mereka.
“Itu belum penganjur lari, kita tengah menyanyi dia lambai-lambai dari bawah pentas sampai hujung-hujung hilang. Bila dah habis nyanyi nak minta bayaran cari orang itu dah tak jumpa dah.”
Walaupun berdepan dengan pelbagai dugaan pada ketika itu namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadi seorang penghibur yang terus diingati peminat. – Agensi
