Pelakon Sweet Qismina memohon orang ramai supaya jangan mengambil mudah mengamalkan liquid diet bagi menurunkan berat badan secara mendadak.
Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 27, berkata, diet diamalkan itu mempunyai kesan sampingan terutamanya mengganggu emosi selain sering mengidam untuk makan.
Kata Sweet, dia mengamalkan diet berkenaan demi menjayakan watak Maya dalam filem Babah dengan kawalan ketat pihak produksi.
“Saya mengamalkan liquid diet dan mengalami kesan sampingan. Salah satunya kita akan mudah beremosi kerana mengidam nak makan.
“Saya lakukannya untuk kerja tapi suami dan pihak produksi menjaga saya daripada sebarang keadaan tidak diingini selain pakar pemakanan mengawasi kesihatan saya.
“Ia bukan perkara yang awda boleh buat sesuka hati. Tolong jangan buat sekiranya tidak merujuk dengan doktor terlebih dahulu,” katanya.
Sweet berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Aktres berkenaan memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi informasi mengenai diet tersebut kerana bukan semua individu sesuai melakukan diet tersebut.
Tambahnya lagi, sebelum mengamalkannya, dia sudah berjumpa dengan pakar nutrisi bagi memeriksa kondisi kesihatannya.
“Doktor akan periksa berat badan dan tahap kesihatan bagi memastikan badan saya sesuai melakukan liquid diet.
“Bila jumpa dengan pakar pemakanan mereka akan beritahu apa sesuai atau tidak sesuai dan bagaimana cara untuk saya diet itu.
“Susu diberi itu bukanlah anda boleh dapat dan minum sesuka hati kerana ia digunakan untuk pesakit yang makan atau minum melalui tapi saya dapat minum susu itu atas nasihat doktor,” katanya.
Sebelum ini, Sweet menyangkal dakwaan kononnya dia melakukan prosedur bariatrik atau potong usus untuk menurunkan berat badan dalam masa singkat.
Demi menjayakan babak terlantar di hospital dalam filem Babah, Sweet berkata dia mendapatkan nasihat pakar nutrisi dan mengamalkan liquid diet untuk menurunkan berat sebanyak 10 kilogram dalam masa sebulan. – Agensi