Monday, January 6, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swiatek belum diuji sepenuhnya

    PARIS, 8 JUN – Juara dua kali, Iga Swiatek, mencari jalan untuk mara ke final Terbuka Perancis ketiga dalam tempoh empat tahun hari ini, manakala Aryna Sabalenka mempertaruhkan kemenangan 12 perlawanan Grand Slamnya di separuh akhir Roland Garros.

    Swiatek berusaha untuk menjadi wanita pertama yang berjaya mempertahankan kejuaraan di Paris sejak Justine Henin pada 2007 selepas mengalahkan Coco Gauff dalam perlawanan ulangan final tahun lalu.

    “Saya cukup gembira untuk berada di separuh akhir Roland Garros sekali lagi. Ia merupakan satu pencapaian yang hebat tidak kira bagaimana kejohanan itu akan berakhir,” kata Swiatek, yang masih belum kalah satu set.

    Pemain yang menghalang laluannya ialah pilihan ke-14, Beatriz Haddad Maia, wanita Brazil pertama yang mara ke separuh akhir Grand Slam sejak 1968 selepas menumpaskan Ons Jabeur, naib juara Wimbledon dan Terbuka AS tahun lalu.

    Pemain nombor satu dunia, Swiatek mempunyai rekod 26-2 dalam lima kunjungan ke Roland Garros tetapi tewas dalam satu-satunya perlawanan sebelum ini dengan Haddad Maia di gelanggang keras Toronto Ogos tahun lalu.

    Swiatek meraikan kemenangan perlawanan suku akhir kejohanan tenis Terbuka Perancis menentang Gauff dalam dua set 6-4, 6-2, di stadium Roland Garros, Paris, baru-baru ini. – AP

    “Jelas sekali permukaan adalah berbeza, jadi mari kita lihat. Saya belum pernah bermain dengannya di tanah liat.

    Sekali lagi, seperti sebelum perlawanan lain, saya akan memberi tumpuan kepada diri saya sendiri dan apa yang ingin saya lakukan di gelanggang,” kata pemain Poland itu, yang juga juara Terbuka AS 2022.

    Haddad Maia mengikut jejak pemenang tujuh kali kejuaraan utama Maria Bueno yang merupakan wanita Brazil terakhir yang berjaya mara ke separuh akhir kejuaraan utama di Terbuka AS 55 tahun yang lalu.

    Pemain kidal berusia 27 tahun itu tidak pernah melepasi pusingan kedua Grand Slam sebelum Terbuka Perancis ini.

    “Ia satu perlawanan yang sangat sukar,” kata Haddad Maia mengenai berdepan Swiatek untuk tempat di final Sabtu ini.

    “Saya akan berusaha sepenuh tenaga di atas gelanggang. Saya tidak akan rugi. Saya akan cuba untuk mendapatkannya.”

    Untuk rekod, Swiatek hanya memerlukan lima jam 32 minit di gelanggang. Sebaliknya, Haddad Maia telah berada di luar sana hampir 13 jam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda