STUTTGART, JERMAN, 25 APRIL – Pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek memenangi gelaran juara WTA keempat berturut-turut pada tahun ini ketika dia menewaskan Aryna Sabalenka dalam perlawanan straight set untuk meraih kemenangan di final Stuttgart kelmarin.
Pemain berusia 20 tahun itu meraih kemenangannya yang ke-23 berturut-turut apabila dia menambah Stuttgart kepada kemenangan kejuaraan di Doha, Indian Wells dan Miami.
Swiatek bermain dengan prestasi amat cemerlang, mematahkan servis Sabalenka dua kali pada set pembukaan, kemudian membalas setiap mata yang diraih dengan penumbuk untuk mengesahkan kemenangan 6-2, 6-2.
“Ia adalah perlawanan yang sukar, kami bertarung untuk setiap perlawanan, mengharapkan ada banyak lagi perlawanan yang akan datang,” kata Swiatek.
Dia berterima kasih kepada pasukannya kerana membantu dirinya bangkit dalam masa yang singkat antara kemenangan separuh akhir ke atas Liudmila Samsonova, yang berlangsung lebih daripada tiga jam.
“Suasananya menakjubkan dan sangat menggembirakan apabila melihat semua bendera negara Poland, ia adalah satu sokongan besar bagi kami,” tambahnya.
Swiatek melemparkan raketnya ke atas dengan gembira dan menunjukkan empat jari untuk setiap gelaran dimenangi pada 2022 selepas mematahkan servis Sabalenka pada perlawanan terakhir untuk menukar mata kejohanan ketiganya.
Penampilan sulungnya di kejohanan Stuttgart mencapai kemuncak dengan persembahan yang mengagumkan kerana dia hanya memerlukan masa sebanyak 85 minit untuk menewaskan Sabalenka, pemain yang menduduki tempat keempat di dunia.
Swiatek adalah pemain tenis Poland yang pertama untuk memenangi gelaran perseorangan Grand Slam pada Terbuka Perancis 2020. Sekarang, dia memiliki tujuh gelaran dalam kariernya.
Sementara itu, 23 kemenangan berturut-turut yang diperoleh oleh Swiatek menjadikannya hampir menyaingi siri kemenangan Naomi Osaka dari tahun 2020 hingga 2021 ketika dia semakin menghampiri rekod 35 kemenangan yang dicatat Venus William dalam jelajah WTA. – AFP