Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swiatek mara di Terbuka San Diego

    SAN DIEGO, 14 OKT – Pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek memerlukan lebih daripada dua jam dalam keadaan hujan untuk mencatatkan kemenangan 6-4, 4-6, 6-1 menentang Zheng Qinwen dari China dalam perlawanan pembukaan di Terbuka WTA 500 San Diego, kelmarin.

    Kemenangan Swiatek kali ini merupakan yang ke-61 dalam jelajah WTA tahun ini. Pemain berumur 21 tahun dari Poland itu memegang rekod ranking nombor satu dunia sejak 4 April.

    “Saya tak sangka saya dapat melalui pengalaman indah seawal karier saya ini,” kata Swiatek, yang mempunyai enam gelaran juara pada tahun 2022, termasuk Terbuka AS, Terbuka Perancis dan Indian Wells. “Ia seperti mimpi jadi nyata.”

    Bermain di atas gelanggang yang keras dan licin, kedua-dua pemain membuat pukulan bola tanggung yang kerap, yang menyebabkan Swiatek terjatuh di set kedua semasa dia cuba untuk membalas pukulan bola tanggung daripada Qinwen.

    Mereka berdepan keputusan seri 4-4 dalam set pertama dan kedua. Semasa set pembukaan, Swiatek mematahkan servis Qinwen untuk mendahului 5-4 sebelum menamatkan pusingan pertama dengan kemenangan.

    Semasa set kedua, mereka sekali lagi berdepan keputusan seri 4-4. Kali ini giliran Qinwen pula mendahului Swiatek dengan 5-4. Qinwen menangkis lima kali mata akhir sebelum menamatkan pusingan kedua dengan kemenangan.

    Walaupun dua perlawanan pertama adalah sengit, Swiatek segera merebut peluang untuk mendahului 5-1 dalam pusingan ketiga. Dia akhirnya berjaya menamatkan pusingan dengan menang empat mata berturut-turut berbalas kosong.

    “Keputusan seri pada dua perlawanan pertama ini terlalu hebat sehinggakan saya tidak harapkan satu perlawanan yang mudah,” kata Swiatek. Kejohanan Terbuka WTA 500 San Diego, yang diadakan di Pusat Tenis San Diego’s Barnes, menawarkan hadiah berjumlah A$757,900 ini melibatkan tujuh daripada 10 pemain teratas dalam ranking. – AP

    Aksi Iga Swiatek membalas hantaran bola daripada Qinweng Zheng semasa perlawanan tenis Terbuka San Diego, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda