Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swiatek mara ke separuh akhir

    BERLIN, 30 JUN – Pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek mara ke separuh akhir kejohanan gelanggang rumput buat pertama kali setelah menewaskan Anna Blinkova di Bad Homburg semalam.

    Swiatek menewaskan pemain pilihan kesembilan Rusia itu 6-3, 6-2 dalam pertemuan pertama antara kedua-dua pemain.

    Juara Grand Slam empat kali itu masih belum melepasi pusingan keempat Wimbledon, yang bermula Isnin depan, walaupun dia adalah juara remaja di Kelab All England pada 2018.

    Dalam perlawanan tersebut, pemain Poland itu berjaya mematahkan servis Blinkova sekali dalam set pertama dan dua kali pada set kedua.

    Sepanjang perlawanan, dia menunjukkan peningkatan ketara pada servisnya berbanding ketika dia menentang Alize Cornet dan tersingkir pada pusingan ketiga Wimbledon tahun lepas.

    Reaksi Iga Swiatek meraikan kejayaan selepas menewaskan Anna Blinkova pada suku akhir Kejohanan Tenis WTA di Bad Homburg, Jerman, pada 29 Jun. – AP

    “Saya gembira dapat bermain dengan penuh keyakinan,” kata Swiatek, yang memanfaatkan minggu tambahan sebelum Wimbledon selepas perubahan jadual pelawanan di gelanggang rumput buat kali pertama musim ini.

    “Selalunya tidak banyak masa untuk bermain di gelanggang rumput.

    “Saya cukup gembira kerana saya menggunakan masa itu 100 peratus antara Kejohanan Roland Garros dan Wimbledon.

    “Saya harap saya boleh bermain dengan prestasi yang sama untuk dua minggu akan datang,” ujar Swiatek.

    Pemain berusia 22 tahun itu telah memenangi tiga daripada lima Grand Slam yang lalu tetapi tidak pernah memenangi kejohanan di gelanggang rumput, walaupun merangkul 14 trofi dalam kariernya.

    “Saya tidak menganggap diri saya sebagai pakar dalam bermain di gelanggang rumput, tetapi saya sedang mengalami kemajuan dan itulah yang paling penting bagi saya,” kata Swiatek. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda