BEIJING, 29 SEPT – Juara Wimbledon, Iga Swiatek menewaskan Camila Osorio untuk meraih kemenangan ke-400 dalam kerjayanya sekali gus mara ke pusingan keempat Terbuka China, hari ini.
Swiatek, yang menjadi pemain pertama merekodkan 25 kemenangan atau lebih di kejohanan WTA-1000 selama tiga musim berturut-turut dengan kemenangan straight set ke atas Yuan Yue di pusingan ketiga, tidak menunjukkan sebarang tanda perlahan apabila menewaskan lawannya dari Colombia 6-0 pada set pertama, sebelum Osorio berhenti dari perlawanan pada permainan pembukaan set kedua.
Sebagai pilihan utama, Swiatek yang memenangi Terbuka Korea minggu lalu di Seoul, juga pernah menjuarai Terbuka Perancis empat kali dan Terbuka Amerika Syarikat sekali daripada enam gelaran Grand Slam perseorangan, seterusnya akan berdepan pemain Amerika, Emma Navarro.
Dalam perlawanan pusingan ketiga lain hari ini, pemain pilihan keempat, Mirra Andreeva menewaskan Jessica Bouzas Maneiro 6-4, 6-1 manakala Marta Kostyuk menewaskan Aliaksandra Sasnovich 6-4, 6-2. Navarro mendahului Lois Boisson 6-2, 1-0 sebelum pemain Perancis itu berhenti dari perlawanan.
Dalam kejohanan ATP 500 lelaki yang berlangsung serentak di Beijing, pilihan utama Jannik Sinner mara ke separuh akhir dengan menewaskan Fabian Marozsan 6-1, 7-5.
Pemain Itali berusia 24 tahun itu akan berdepan pilihan ketiga, Alex de Minaur, yang mara secara walkover selepas lawannya, Jakub Mensik berhenti akibat kecederaan ketika ketinggalan 4-1 pada set pertama.
Manakala pemain nombor tiga, Alexander Zverev, bertemu Daniil Medvedev dalam perlawanan suku akhir lewat hari ini. – AP


