NEW YORK, 20 OGOS – Iga Swiatek mengetepikan keletihan yang masih bersisa untuk bergandingan dengan Casper Ruud meraih dua kemenangan berturut-turut dalam kejohanan beregu campuran yang diperbaharui di Terbuka AS kelmarin.
Swiatek, yang Isnin lalu terpaksa berjuang selama dua jam sebelum menewaskan Jasmine Paolini untuk menjuarai Terbuka Cincinnati, tampak penuh bertenaga ketika bersama Ruud mara ke separuh akhir yang dijadualkan hari ini.
Swiatek dan Ruud hanya memerlukan 39 minit untuk menundukkan gandingan Amerika Syarikat (AS), Madison Keys dan Frances Tiafoe 4-1, 4-2 dalam aksi pembukaan di Stadium Arthur Ashe, sebelum kembali kira-kira 20 minit kemudian untuk menewaskan Caty McNally dan Lorenzo Musetti 5-3, 4-2 pada perlawanan suku akhir.
Dua kemenangan itu melengkapkan tempoh 24 jam yang mencabar buat bintang Poland, Swiatek, yang bergegas ke lapangan terbang selepas kemenangannya di Cincinnati pada Isnin dan hanya tiba di hotelnya di New York awal pagi kelmarin.
“Sejujurnya dua hari kebelakangan ini terasa seperti satu hari, tetapi saya sangat gembira berada di sini,” kata Swiatek sambil menambah jadual padatnya membantu dirinya menenangkan fikiran selepas keletihan di Cincinnati.
“Sejujurnya saya rasa ia agak baik untuk pemulihan,” ujar Swiatek. “Mempunyai tugasan lain membuatkan saya tidak boleh bermalas-malasan, sebaliknya lebih fokus kepada perkara menarik yang menanti.”
Ruud dan Swiatek sempat menjalani latihan ringkas sebelum turun ke gelanggang dalam perlawanan pertama mereka sebagai pasangan beregu.
“Saya gembira dapat bergandingan dengan Iga,” kata Ruud selepas itu. “Dia sedang berada dalam rentak kemenangan, jadi saya hanya ikut aliran itu dan mari kita lihat sama ada boleh menambah lagi kemenangan sebelum beregu campuran tamat.
“Saya rasa semua orang harus memberi penghargaan kepada Iga hari ini. Dia hanya tiba di hotel 12 jam lalu pada pukul 2:30 pagi dan kini dia sudah beraksi di sini.” Swiatek dan Ruud akan menentang pilihan utama, Jessica Pegula dari AS dan Jack Draper dari Britain pada separuh akhir Rabu ini. – AFP


