Wednesday, March 26, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swiatek tempah pusingan 16 terakhir WTA 1000

    MIAMI GARDENS, 24 MAC – Iga Swiatek mengatasi Elise Mertens untuk memastikan kemenangan 7-6 (7/2), 6-1 dan menempah tempat dalam pusingan 16 terakhir pada kejohanan WTA 1000 untuk rekod acara ke-25 berturut-turut.

    Pilihan kedua Swiatek tidak pernah tewas sebelum pusingan 16 terakhir di peringkat ini sejak Cincinnati 2021.

    Dia mendahului 5-2 pada set pertama tetapi Mertens bangkit untuk menjadikan kedudukan 5-5 sebelum Swiatek berjaya menguasai permainnya dalam pusingan pematah seri.

    Swiatek tidak menoleh ke belakang sejak itu apabila dia dengan pantas menamatkan permainan pada set kedua dan dia mengakui dia bergelut dalam servisnya. Peratusan servis pertamanya meningkat daripada 60 kepada 79 peratus dalam set kedua.

    “Pada set pertama, servis saya tidak berfungsi dengan sempurna. Saya gembira saya cukup sabar untuk melakukannya, dan pada set kedua saya berasa lebih baik,” kata Swiatek.

    Bagaimanapun, timbul kekecewaan buat pilihan kelima Amerika, Madison Keys, yang dikecewakan oleh pemain wildcard Filipina berusia 19 tahun, Alexandra Eala.

    Kemenangan 6-4, 6-2 untuk pemain remaja itu mendorongnya untuk memeluk pasukannya dan meraikannya dengan penuh gembira selepas menjadi wanita Filipina pertama dalam era Terbuka yang menewaskan lawan 10 terbaik sejak sistem ranking diwujudkan pada 1975.

    Eala kini akan menentang Paula Badosa untuk merebut tempat ke suku akhir.

    Sementara itu, pemain Ukraine, Elina Svitolina, pilihan ke-22, mengatasi pilihan ke-15 dari Czech, Karolina Muchova, untuk mara ke pusingan keempat dengan kemenangan 6-2, 3-6, 6-2. – AFP

    Aksi Swiatek semasa perlawanan di Stadium Hard Rock pada 21 Mac di Miami Gardens, Florida. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda