Wednesday, November 13, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swiatek tersingkir dari Final WTA

    RIYADH, 8 NOV – Pemain nombor dua dunia, Iga Swiatek tersingkir daripada Final WTA kelmarin, sementara Barbora Krejcikova menewaskan Coco Gauff untuk memastikan tempatnya di separuh akhir, sekali gus melenyapkan peluang pemain Poland itu.

    Juara Wimbledon dari Republik Czech itu meraih kemenangan, 7-5, 6-4 ke atas Gauff untuk menamatkan pertahanan gelaran Swiatek, yang memerlukan kekalahan Krejcikova untuk mara dari peringkat kumpulan.

    Dengan satu kemenangan dan satu kekalahan sebelum hari terakhir pusingan round-robin, kemenangan 6-1, 6-0 Swiatek ke atas pemain gantian Daria Kasatkina tidak memberi kesan kepada peluang kelayakannya.

    Satu-satunya senario yang membolehkan Swiatek mara ke separuh akhir adalah jika Gauff menewaskan Krejcikova.

    Keputusan itu tidak memihak kepada Swiatek, dan Krejcikova melangkah ke separuh akhir Final WTA buat kali pertama dalam penampilan kedua beliau dalam acara perseorangan.

    Krejcikova mara sebagai pemenang Kumpulan Jingga, dan akan menentang Zheng Qinwen pada peringkat separuh akhir hari ini, sementara Gauff dari Amerika Syarikat mara sebagai naib juara untuk berhadapan dengan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka.

    “Ia merupakan kemenangan besar bagi saya. Saya sangat gembira dengan cara saya bermain dan prestasi saya hari ini. Ia adalah perlawanan yang sangat penting,” kata Krejcikova, yang menyelamatkan 11 daripada 12 break point menentang Gauff.

    “Bermain lagi esok adalah sesuatu yang tidak dapat saya bayangkan sebelum kejohanan ini dan saya sangat berbangga dengan diri saya dan teruja menghadapi cabaran baharu.

    “Saya hanya berjuang untuk setiap bola dan saya tahu ia akan menjadi sukar kerana Coco sedang berada dalam prestasi terbaik dan dia adalah salah seorang pemain terbaik musim ini. Itu adalah cabaran besar tetapi juga ganjaran besar, iaitu separuh akhir yang menjadi pertaruhan. Saya sangat teruja untuk berada di sini,” ujarnya. – AFP

    Aksi Swiatek semasa perlawanan tenis perseorangan wanita di Final WTA di Riyadh pada 7 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda