Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swiatek tuntut gelaran ketiga Terbuka Perancis

    PARIS, 11 JUN – Iga Swiatek kelmarin menewaskan Karolina Muchova 6-2, 5-7, 6-4 untuk memenangi kejuaraan Terbuka Perancis ketiganya dan menjadi wanita pertama yang berjaya mempertahankan gelaran Roland Garros sejak 2007.

    Swiatek yang berusia 22 tahun itu menjadi pemain wanita ketiga dalam era kejohanan Terbuka yang memenangi empat final Grand Slam pertamanya, selepas gelaran 2020 dan 2022 di Paris dan kejayaan Terbuka AS tahun lalu.

    Monica Seles dan Naomi Osaka adalah satu-satunya pemain lain yang mencapai kejayaan itu.

    Swiatek, pemain nombor satu dunia dari Poland, juga merupakan wanita termuda yang memenangi gelaran Terbuka Perancis secara berturut-turut sejak Monica Seles pada awal 1990an.

    Justine Henin adalah wanita terakhir yang memenangi dua gelaran Roland Garros secara berterusan apabila dia merangkul kemenangan ketiganya berturut-turut dan keempat secara keseluruhan 16 tahun lalu.

    Swiatek mencium trofi ketika dia meraikan kemenangan perlawanan akhir wanita kejohanan tenis Terbuka Perancis menentang Muchova di stadium Roland Garros, Paris, baru-baru ini. – AP

    “Saya tahu saya telah mengatakan ini setiap tahun, ia bukanlah mengenai prestasi, saya sangat suka berada di sini. Ia adalah tempat kegemaran saya dalam jelajah,” kata Swiatek.

    Kemenangan terbaharu Swiatek menandakan dua minggu yang dominan di atas tanah liat di Paris, di mana rekodnya ialah 28 kemenangan dan dua kekalahan dalam lima kunjungan.

    Muchova, pemain dunia ke-43, adalah pemain wanita keempat tercorot yang mara ke final Terbuka Perancis, perlawanan kejuaraan pertamanya di sebuah kejohanan utama.

    “Sayangnya, itulah yang berlaku apabila awda bermain dengan salah seorang yang terbaik, Iga,” kata Muchova yang sebak, yang hanya diberitahu tahun lalu oleh doktor dia mungkin tidak akan bermain tenis lagi.

    Pemain Czech bukan pilihan itu mara ke final selepas memenangi semua lima perlawanan dalam kariernya menentang pemain dalam tiga teratas, empat daripadanya di Grand Slam, selepas mengejutkan Aryna Sabalenka di peringkat separuh akhir. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda