FLORIDA, AMERIKA SYARIKAT, 13 DIS – Iga Swiatek baru-baru ini telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik WTA buat kali pertama selepas menginjak ke ranking teratas pada April dan kekal berada di nombor satu sehingga tamat musim dengan kemenangan dua gelaran Grand Slam.
Pemain dari Poland, Swiatek, 21, yang merupakan Pemain Baharu Terbaik WTA 2020, mendahului jelajah dengan 67 kemenangan dan lapan gelaran juara, termasuklah meraih enam trofi dalam 37 kemenangan berturut-turut sepanjang Februari hingga Julai yang juga merupakan rekod menang tanpa kalah terpanjang dalam sejarah tenis wanita.
“Saya rasa semuanya berjalan lancar pada musim ini. Dan saya tak sangka ia akan menjadi begitu konsisten,” kata Swiatek dalam temu bual video bersama The Associated Press.
Dia naik ke ranking teratas selepas Ash Barty secara tiba-tiba mengumumkan persaraannya pada usia 25 tahun sekali gus melepaskan kedudukan itu. Swiatek kemudiannya menang kejohanan utama keduanya dalam Terbuka Perancis pada bulan Jun, diikuti dengan gelaran juara dalam Terbuka Amerika Syarikat pada bulan September, menjadikannya wanita pertama dengan dua trofi Grand Slam dalam satu musim sejak Angelique Kerber pada tahun 2016.
Sementara itu, Jurulatih Terbaik WTA dimenangi oleh David Witt. Dia merupakan jurulatih kepada Jessica Pegula, pemain tenis Amerika Syarikat berusia 28 tahun, yang meningkat kepada ran-king ketiga dunia pada tahun ini dan mencapai peringkat suku akhir dalam tiga kejohanan Grand Slam – tewas kepada Barty dan Swiatek setiap kali.
Pegula juga memenangi Terbuka Guadalajara, mencapai peringkat final WTA 1,000 kali di Terbuka Madrid dan layak ke final WTA dalam acara perseorangan dan regu (bersama Coco Gauff). – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/12/P23-1a-Swiatek_14122022.jpg)