Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Switzerland lancar superkomputer Alps baharu

    GENEVA, 15 SEPT – Switzerland kelmarin merasmikan superkomputer baharunya yang dipanggil Alps di mana ia merupakan salah satu yang terpantas di dunia dan diharapkan dapat membantu meletakkan negara itu di hadapan untuk penyelesaian kecerdasan buatan (AI) serta boleh dipercayai.

    Universiti ETH Zurich secara rasmi melancarkan Alps di Pusat Pengkomputeran Nasional Swiss (CSCS) di Lugano, selatan Switzerland.

    “Alps adalah ungkapan visi kami tentang masa depan yang dicirikan oleh pengetahuan dan kemajuan,” kata Menteri Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan, Guy Parmelin, dalam ucapan di tapak CSCS.

    Alps telah disenaraikan sebagai superkomputer paling berkuasa keenam di dunia Jun lalu. Bagaimanapun, pada masa itu ia belum dibina sepenuhnya dan hanya mencapai 60 peratus daripada potensinya.

    Superkomputer telah dicipta untuk menampung data yang terlalu banyak dan keperluan saintifik pengkomputeran, di samping membolehkan AI digunakan dengan lebih sepenuhnya.

    Gambar Envato

    “Ia merupakan bahagian pusat inisiatif untuk meletakkan Switzerland sebagai hab terkemuka dunia untuk pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian AI yang telus dan boleh dipercayai,” kata ETH Zurich dalam satu kenyataan.

    Ketua Pusat AI di ETH Zurich, Andreas Krause berkata, “Alps membolehkan untuk melatih model AI yang kompleks bagi aplikasi penting, contohnya, dalam bidang perubatan dan penyelidikan iklim.”

    Perkhidmatan cuaca Switzerland, MeteoSwiss, sudah menggunakan Alps untuk menghasilkan model ramalan cuaca resolusi lebih tinggi yang lebih mencerminkan topografi pergunungan dan lembah Switzerland yang kompleks.

    Parmelin berkata pada X, Alps akan membuka lembaran baharu, menyediakan laluan untuk masa depan, meletakkan Switzerland di kedudukan teratas untuk penyelidikan saintifik.

    Timbalan pengarah CSCS, Michele De Lorenzi memberitahu agensi berita Keystone-ATS Switzerland, ia akan mengambil masa 40,000 tahun bagi komputer riba komersial untuk melaksanakan operasi yang boleh dilakukan oleh Alps dalam sehari. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda