Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Switzerland sokong RUU iklim baharu

    GENEVA, 18 JUN – Switzerland yang merasakan kesan pemanasan global terhadap glasier semakin cepat mencair, telah menyokong rang undang-undang (RUU) iklim baharu hari ini yang bertujuan mengarahkan negara itu ke arah neutral karbon menjelang 2050, menurut anggaran awal.

    Unjuran awal daripada institut Gfs.bern menunjukkan bahawa 58 peratus pengundi Switzerland telah mengundi ‘ya’ dalam referendum mengenai undang-undang baharu itu, yang memerlukan Switzerland mengurangkan kebergantungannya terhadap minyak dan gas yang diimport, meningkatkan pembangunan dan penggunaan alternatif yang lebih hijau dan berasaskan tempatan.

    Pengundi juga sangat menyokong penggunaan kadar cukai minimum global sebanyak 15 peratus bagi syarikat multinasional, dengan 79 peratus undian sokongan, menurut unjuran yang diterbitkan sejurus selepas pengundian ditutup pada tengah hari waktu tempatan.

    Tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan sokongan yang kuat tetapi semakin berkurangan terhadap rang undang-undang iklim, di tengah-tengah kempen yang menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan elektrik dan kemusnahan ekonomi yang didorong oleh Parti Rakyat Swiss (SVP) berhaluan kanan.

    Para penyokong telah berhujah bahawa ‘Akta Persekutuan mengenai Sasaran Perlindungan Iklim, Inovasi dan Memperkukuh Keselamatan Tenaga’ diperlukan bagi memastikan keselamatan tenaga.

    Mereka berkata, ia juga akan membantu menangani kerosakan perubahan iklim, yang disebabkan oleh pencairan dramatik glasier di Pergunungan Alps Switzerland, yang kehilangan satu pertiga daripada jumlah aisnya antara tahun 2001 dan 2022.

    Switzerland mengimport kira-kira tiga perempat daripada tenaganya, dengan semua minyak dan gas asli yang digunakan datang dari luar negara.

    Aktivis iklim pada mulanya mahu melarang sepenuhnya ke atas semua penggunaan minyak dan gas di Switzerland menjelang 2050. – AFP

    Gambar freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda