Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1447H, Kumpulan Syababul Iman menganjurkan Program Syabab Prihatin #14 bertema Belia Berbakti, Ummah Diberkati.
Program amal itu menyediakan platform kepada orang ramai untuk menyalurkan bantuan kepada warga emas dan golongan kurang berkemampuan.
Program dimulakan dengan ceramah kuliah subuh oleh Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar bertajuk Belia Berbakti, Ummah Diberkahi. Seterusnya, sebanyak 50 kontena bubur ayam diagihkan secara pandu lalu di perkarangan Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, memudahkan penerima sumbangan.
Sejak diperkenalkan pada 2012, program itu membolehkan orang ramai menyumbang alat keperluan asas kepada 30 keluarga terpilih di Mukim Sengkurong, setiap keluarga menerima satu beg barangan harian dan satu guni beras wangi. Sumbangan orang ramai dijalankan pada 23 hingga 28 Ogos lalu.
Program itu diadakan bertujuan mewujudkan suasana kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat, melahirkan generasi belia Islam yang berbakti, bertanggungjawab dan berperikemanusiaan, serta membantu meringankan beban golongan memerlukan.
Inisiatif itu menyerlahkan komitmen belia dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat sejajar semangat Maulud Nabi Muhammad SAW.



