Penyanyi Syafiq Farhain berkongsi berita gembira apabila isterinya iaitu Alia Nadia, 29, selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka pada pukul 10:49 pagi, baru-baru ini.
Anak damit perempuan seberat 2.95 kilogram itu dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan di Kuala Terengganu, Terengganu.
Kata Syafiq atau Nursyafiq Farhain AM Salim, 29, selain teruja dan gembira dia juga lega segala urusan dipermudahkan kerana isterinya bersalin seminggu lewat dari tarikh jangkaan.
“Sepatutnya dia bersalin 29 Mei lalu. Saya pun sudah ambil cuti awal supaya dapat menemani dia. Kalau isteri masih juga belum bersalin hari ini, memang saya terpaksa pulang dahulu ke Kuala Lumpur kerana urusan kerja.
“Syukur segalanya dipermudahkan. Saya sendiri dapat melihat proses isteri bersalin. Melihat wajah anak buat pertama kali, saya senyum sendiri sebelum sempat nak azankan,” katanya ketika dihubungi mStar.
Tambah Syafiq sehari sebelum bersalin, isterinya itu sempat mengikut dia menjalani penggambaran muzik video lagu terbaharunya yang dilakukan di sana.
Bercakap lanjut, Syafiq dan isteri telah menyenaraikan beberapa nama untuk anaknya itu namun masih belum ditetapkan. – Agensi
