PELAKON, Syafiq Kyle membelanjakan hampir RM50,000 untuk menubuhkan kelab bola sepak miliknya yang diberi nama Challo FC.
Syafiq bekata, selepas hasrat menjadi pemain bola profesional tidak kesampaian dia nekad menubuhkan kelab itu sejak setahun lalu.
“Saya menggunakan duit sendiri menyediakan segala kelengkapan untuk pemain. Saya tidak kisah mengeluarkan wang asalkan hasilnya menjadi seperti apa yang saya inginkan.
“Saya tidak mensasarkan Challo FC masuk liga yang lebih besar. Ketika ini, kami hanya menyertai perlawanan liga selain menerima tawaran perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara,” katanya.
Selain Syafiq, kelab bola sepak itu turut menyenaraikan beberapa artis sebagai pemain tetap seperti Aedy Ashraf, Ikmal Amry dan Harris Anuar.

Menurut Syafiq, kelab Challo FC turut menerima beberapa penajaan luar.
“Bola sepak adalah antara aktiviti sukan digemari, jadi kami turut menerima pelbagai tajaan daripada luar untuk kelab ini.
“Bagi saya, penubuhan kelab ini adalah inisiatif positif kerana dapat membantu rakan pasukan menjana pendapatan sampingan apabila mendapat tawaran melakukan kempen bagi sesuatu produk,” katanya.
Syafiq berkata, Challo FC turut menyimpan impian mengadakan perlawanan persahabatan dengan juara Liga Super (MSL) lima tahun berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT). – Agensi