Pelakon Syafiq Kyle menerima keputusan kekalahannya menerusi kategori Aktor Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36) dengan berlapang dada dan positif.
Syafiq berkata, dia menyifatkan kekalahannya kerana tiada rezeki, sebaliknya menumpang gembira dengan penantian yang ditunggu oleh Aedy Ashraf selama lebih dua dekad.
“Ini rezeki masing-masing. Setiap penganugerahan (filem) dalam Malaysia ini turut disertai oleh rakan-rakan saya.
“Walaupun seseorang itu aktif atau tidak berlakon, semuanya berbalik kepada rezeki. Saya anggap pembabitan saya dalam tiga filem tahun ini juga rezeki buat saya.
“Begitu juga dengan penganugerahan ini. Ia di luar kawalan saya. Yang saya boleh tentukan adalah pandangan mengenainya. Apa yang seharusnya kita buat adalah beri galakan dan ucap tahniah kepada pemenang.
“Saya gembira untuk Aedy. Dia pun sudah berada dalam industri ini selama 24 tahun.
Anugerah itu selayaknya untuknya,” katanya ketika ditemui sempena sesi penggambaran drama bersiri, One Cent Thief 2 di Bandar Malaysia, kelmarin.
Menurut Syafiq, walaupun tewas di tangan Aedy, dia menganggap kekalahannya sebagai satu persaingan sihat.
“Semalam saya ada menghubungi Aedy. Saya tumpang gembira. Saya pun sudah cukup bersyukur kerana tercalon dalam kategori sama.
“Pelakon lain yang tercalon juga adalah dalam kalangan senior saya. Kita patut raikan setiap yang tercalon.
“Menang atau kalah, industri tetap bergerak ke depan. Anggap ini persaingan sihat, jangan simpan perasaan negatif,” katanya kepada BH Online.
Dalam masa sama, Syafiq melihat trofi kemenangan sebagai perkara subjektif dan mengaku lebih menghargai penghargaan secara verbal.
“Anugerah perkara subjektif. Penghargaan verbal juga pada saya satu anugerah. Orang panggil kita bekerjasama juga satu anugerah. Maksudnya mereka percaya dengan kita,” katanya. – Agensi