Penyanyi Indonesia Syahrini terpaksa menanggung malu apabila anugerah diterimanya ketika hadir ke Festival Filem Cannes 2025 di Perancis tidak diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Memetik laporan mStar, dalam satu kenyataan dikeluarkan, UNESCO menegaskan tidak terlibat dalam penganugerahan diterima Syahrini pada Jumaat lalu.
“Unesco tidak terlibat dalam pemberian sebarang anugerah pada acara yang berlangsung di Cannes.
“Walaupun acara itu mungkin melibatkan ramai artis dari pelbagai negara, ia bukan pengiktirafan rasmi daripada UNESCO.
“Sebarang acara yang tidak dianjurkan secara langsung oleh UNESCO atau tidak mendapat pengesahan rasmi tidak boleh dianggap sebagai pengiktirafan daripada badan ini,” kata wakil pertubuhan berkenaan.

Sebelum ini, Syahrini berkongsi kegembiraan di Instagram kerana menerima anugerah Outstanding Achievement in Entertainment, Influence, & Global Cultural Impact.
Anugerah itu didakwa disampaikan atas nama UNESCO melalui platform Listen To Her Parole.
“Saya datang ke Cannes untuk menerima penghargaan luar biasa dari UNESCO melalui platform Listen To Her Parole.
“Sebagai wanita Asia Tenggara dan Muslim yang bangga, saya membawa cerita yang jarang didengar.
“Keyakinan menguatkan saya, budaya memperkuat saya dan suara dengan ramai wanita yang bangkit untuk mendefinisikan kembali apa yang mungkin, dianggap mustahil,” ujarnya.
Dalam hantaran tersebut, dia juga berkongsi foto berada di karpet merah festival itu bersama trofi sebagai bukti.
Anugerah tersebut sebenarnya dianjurkan oleh Discrete Magazine, iaitu acara sampingan yang diadakan bersempena Festival Filem Cannes.
Majlis tersebut bertujuan meraikan wanita yang memberi sumbangan dalam bidang seni, budaya dan sosial. – Agensi