KUALA LUMPUR, 30 JULAI – Pemain wanita kebangsaan Malaysia, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi berharap kembali pulih sepenuhnya bagi mengintai tempat dalam edisi ke-26 Kejohanan Tenpin Boling Asia di Hong Kong, yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 25 Januari tahun depan.
Alet kelahiran Perak itu berkata barisan kejurulatihan akan mengadakan pertandingan ujian bulanan bagi mengukur prestasi semasa setiap pemain susulan ketiadaan kejohanan antarabangsa tahun ini akibat penularan pandemik COVID-19.
“Saya kini sedang menjalani proses pemulihan di rumah setelah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya pada pertengahan bulan ini akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Saya tidak pasti mengenai format pertandingan ujian berkenaan, namun saya difahamkan ia akan diadakan secara bulanan dari Ogos sehingga Disember ini, dengan hanya enam pemain lelaki dan wanita dipilih ke Kejohanan Asia,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Atlet berusia 29 tahun itu menjelaskan beliau meletakkan harapan tinggi memandangkan beliau tidak pernah terlepas daripada menyertai Kejohanan Asia sejak 2015. – Bernama