Pelawak dua beradik, Syaiful dan Sharif menepati ramalan apabila diumum juara musim ketiga Famili Duo (FD3) yang disiarkan secara langsung dari Studio TV3, Glenmarie, Shah Alam, malam tadi.
Dengan kemenangan itu, Syaiful dan Sharif yang sebelum ini diumum duo keenam bersaing di pentas musim ketiga FD, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.
Bertemakan berkumpulan/duet popular, segmen pertama menyaksikan pasangan duo ini menyampaikan lagu Kong Kali Kong dipopularkan Floor88 dan Namie.
Untuk segmen kedua bertema bebas, Syaiful dan Sharif menyanyikan secara medley lagu Lemak Manis dendangan Roslan Madun, Umpan Jinak Di Air Tenang (Allahyarham Ahmad Jais) dan Joget Angan Tak Sudah (Jay Jay).
Menerusi persembahan segmen kedua, pasangan adik-beradik itu turut menampilkan adik mereka, Atu bersama barisan pelawak lain iaitu Fad, Danial Zaini serta Namie.
Mereka mempersembahkan sketsa serta konsep persembahan mencuit hati, hingga menerima standing ovation daripada penonton dan juri.
Sebelum ini, pasangan itu berjaya meraih gelaran Duo Terbaik sebanyak tiga kali iaitu pada minggu pertama, kelima dan keenam.
Sharif yang gagal menahan sebak sebaik diumum juara FD3 mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi tunjuk ajar dan menyokong mereka.
“Sebenarnya, ini adalah tangisan kepuasan sebab setiap minggu kami berjuang untuk buat yang terbaik.
“Terima kasih kepada juri dan semua yang menyokong kami dari awal. Kalau diberi peluang kami akan terus menghiburkan awda semua,” katanya.
Yang turut membuat persembahan pada pentas akhir FD3 adalah pasangan sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran serta dua beradik, Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi. – Agensi