Monday, September 9, 2024
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syair tradisi Brunei disanjung

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba dengan markah 86 peratus telah berjaya menambat hati para juri sekali gus merebut gelaran johan dalam Pertandingan Menambang Syair Peringkat Sekolah Menengah, Maktab dan Pusat Tingkatan Enam tahun 2023, hari ini.

    Pertandingan yang berlangsung di Dewan Perpaduan, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas itu, telah menyaksikan persembahan daripada lima buah sekolah yang berjaya mara ke peringkat akhir.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

    Pemenang tempat kedua bagi pertandingan itu jatuh kepada Sekolah Ugama Arab Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dengan markah 79 peratus dan diikuti tempat ketiga, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dengan markah 76 peratus.

    Sementara itu, tempat keempat dan kelima masing-masing disandang oleh Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dengan markah 75 peratus dan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah dengah markah 70 peratus.

    Antara objektif pertandingan tersebut adalah untuk mendedahkan pelajar kepada irama tambangan syair Brunei selain bagi mengembangkan bakat serta menggilap potensi pelajar dalam penambangan dan penghayatan syair tradisi Brunei.

    Ini terutama pemikiran atas perutusan tersurat dan tersirat yang terkandung dalam Syair Nukilan Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien.

    Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kesenian dan Kreativiti, Jabatan Pendidikan Kokurikulum itu yang dibukakan kepada pelajar sekolah menengah, maktab serta pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta ini telah disertai oleh 11 buah sekolah.

    Gambar ramai peserta pertandingan bersama tetamu kehormat majlis. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda