Syamsul izin Puteri Sarah berlakon

Cinta Puteri Sarah Liyana terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar biarpun lebih enam tahun terpaksa mengetepikan minat demi memberi tumpuan terhadap keluarga.

Kali terakhir isteri kepada pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof itu membintangi drama pada tahun 2013.

Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 35, dia kembali ke lokasi penggambaran sejak tahun lalu, tetapi hanya menerusi naskhah tidak menuntut masa yang panjang.

“Saya kembali dengan mengendalikan program Glam terbitan RTM sebagai hos pada Oktober tahun lalu. Kemudiannya, saya berlakon telefilem dan akan datang, saya akan menjayakan sebuah lagi telefilem.

“Saya tak mampu meninggalkan dunia lakonan kerana minat. Saya sudah biasa dengan sibuk, saya boleh melompat-lompat ke beberapa lokasi penggambaran dalam masa sehari.

Syamsul Yusof memberikan kebenaran kepada isterinya, Puteri Sarah Liyana untuk berlakon dengan syarat hanya berlakon dalam telefilem. – Agensi

“Disebabkan tak mahu bosan, saya mula berniaga. Apabila berniaga, timbul pula rasa nak berlakon,” katanya kepada media.

Sarah berkata, dia mendapat keizinan suami, tetapi ada syarat.

“Suami izinkan saya berlakon tetapi hanya telefilem. Saya tak boleh terima tawaran berlakon drama bersiri kerana ia mengambil masa yang panjang, sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Sungguhpun begitu, saya akan bertanya pada suami terlebih dahulu sebelum menerima tawaran. Saya jaga batasan sebagai isteri orang,” katanya.

Bagaimanapun, Sarah menafikan suaminya punca dirinya menyepikan diri daripada dunia lakonan.

“Suami tidak pernah halang minat saya. Sebelum ini, saya ada anak kecil dan masih belum pandai mengendalikan masa.

“Bagaimanapun, saya semakin faham rentak apabila dikurniakan dua cahaya mata. Sekarang, Syamsul pun sudah boleh jaga anak apabila saya bekerja, jadi tiada masalah untuk saya kembali berlakon.

“Saya akui pernah mengeluarkan kenyataan saya perlu memperlahankan kerjaya lakonan apabila berkahwin, tetapi jiwa saya meronta-ronta mahu berlakon.

“Tetapi, berlakon bukanlah satu keutamaan, tidak mengapa tiada tawaran kerana keluarga menjadi keutamaan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikannya, Shara, baru-baru ini.

Mengusahakan produk kecantikan sejak 2018, ia adalah salah satu cara untuk Sarah meyibukkan diri.

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan baik. Syamsul juga menyokong saya berniaga,” katanya. Syamsul turut hadir menyokong Sarah pada majlis pelancaran.

Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014. Pasangan itu dikurniakan anak lelaki, Syaikul Islam, 3 dan Summayyah, 1. – Agensi