Setelah agak lama isu membabitkan rumah tangga Syamsul Yusof menjadi perbualan ramai, pengarah dan pelakon itu akhirnya tampil menjelaskan mengenai status sebenar.
Mengakui bahtera yang dibina berhadapan masalah, Syamsul, 36, bagaimanapun berkata dia dan Puteri Sarah Liyana kini dalam proses memperbaiki hubungan dengan mendapatkan nasihat daripada pihak yang sepatutnya.
Malah jelas pemilik nama Mohd Syamsul Mohd Yusof ini, kehadiran Puteri Sarah di pejabat agama pada 18 September lalu tidak melibatkan isu penceraian.
“Semua orang pun tahu dia pergi ke pejabat agama tapi bukan sebab kami nak bercerai. Cuma tiada jalan lain, kami perlu mengambil nasihat daripada kaunseling.
“Kami masih dalam proses memperbaiki hubungan. Saya tidak boleh cakap lebih soal rumah tangga tapi apa yang boleh saya cakap… dia seorang isteri yang baik.
“Yang penting sekarang ini anak-anak. Mungkin sebab saya terlalu obses dengan kerja saya. Jadi seperti penyakit… saya jadi gila dengan kerja saya.
“Sepatutnya apabila kerja dah siap, relaks la. Nak kata duit… Alhamdulillah, rezeki ada. Tapi kenapa saya selalu nak bekerja,” kata Syamsul kepada wartawan.
Pada 29 September lalu, Syamsul meluahkan rasa berang apabila kisah rumah tangganya dijadikan modal sensasi berbaur fitnah sebuah saluran YouTube.
Dalam pada itu pengarah dan pelakon filem Munafik ini mengakui berasa tertekan apabila berdepan dengan dugaan tersebut ketika dia sedang sibuk menyiapkan projek filem dan lagunya.
Bagaimanapun dia percaya dan yakin apa yang berlaku tidak akan menjejaskan urusan dalam memperbaiki hubungannya dengan Puteri Sarah.
“Saya tertekan sebab sibuk dengan projek filem dan lagu dan dalam masa sama nak perbaiki hubungan kami lagi. Jadi, saya perlukan ketenangan.
“Tapi pada masa yang sama timbul isu YouTuber buat fitnah… ada yang hantar mesej ugutan la. Sekarang ini mood saya tengah sakit hati… nak selesaikan masalah kena tenang.
“Tapi Insya-Allah apa yang berlaku ini tidak akan menjejaskan saya dan Sarah dalam urusan nak perbaiki hubungan kami.
“Sarah seorang yang sangat memahami dan apa yang terjadi, dia sentiasa beri sokongan,” ujarnya.
Syamsul berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah yang kini berusia setahun. – Agensi