Saturday, November 16, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syanie tak pernah terfikir tinggalkan dunia seni

    Hampir setahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon, aktres Syanie memberitahu ada ketika dia juga merasa kecewa dengan sikap penerbit dan stesen televisyen yang terlalu memilih dalam senarai pelakon.

    Reda dengan nasib yang dilalui, Syanie atau Syaniza Hisham, 50, menegaskan dia tidak pernah meletakkan kata putus untuk berhenti dari dunia seni.

    “Kali terakhir saya terlibat dengan penggambaran adalah pada bulan Ramadan tahun lalu. Sejak awal tahun 2024 pun masih belum ada yang panggil untuk berlakon.

    “Tidak tahu mana silapnya, mungkin stesen televisyen terlalu memilih pelakon yang banyak pengikut media sosial. Kadang-kala saya pun tertanya-tanya apakah kriteria yang dicari untuk berlakon.

    “Ada juga rasa kecewa bila perkara sebegini berlaku. Namun saya tidak pernah kata untuk berhenti berlakon,” katanya kepada mStar.

    Syanie aktif mengusahakan perniagaan makanan. – mStar

    Syanie ditemui ketika terlibat dalam acara Fiesta Perkeso Membawa Senyuman yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Tambah Syanie disebabkan jarang muncul dalam mana-mana drama atau filem baharu, ramai peminat yang menyangka dia sudah tidak berminat atau merajuk dengan industri seni.

    Baginya tiada istilah sebegitu dan sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam industri, Syanie pastinya tidak akan meninggalkan kerjaya ini.

    “Ketika mengadakan sesi siaran langsung di media sosial atau terlibat dalam mana-mana program jualan ramai yang menegur dan sangka saya sudah tidak mahu berlakon. Mungkin drama saya tidak banyak di televisyen.

    “Saya sentiasa percaya pada rezeki. Kalau ia sudah ditetapkan untuk saya, walau bagaimana sekalipun pasti akan dapat.

    “Tidak pernah pun saya merajuk dengan industri. Sudah hampir 33 tahun berlakon, tak mungkin saya nak tinggalkan kerjaya ini,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda