Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syanie terkilan bakat direndahkan

    Biarpun sibuk menguruskan perniagaan makanan yang kini semakin mendapat perhatian ramai, pelakon komedi, Syanie mengakui rindu untuk kembali aktif berlakon seperti dulu.

    Kehilangannya selama ini bukan kerana sudah tidak berminat dengan dunia lakonan, namun kata Syanie atau nama penuhnya Syaniza Hisham, kebanyakan tawaran yang datang seperti tidak menghargai bakatnya.

    “Terus terang saya katakan memang tidak banyak tawaran lakonan datang, hanya satu dua.

    “Bagaimanapun, yang satu-dua itu pula datang dengan tawaran tidak munasabah di mana bayaran ditawarkan terlalu rendah dan tidak masuk akal dengan komitmen dan masa yang perlu berikan. Bayangkan ada yang memberikan tawaran dengan ‘rate’ sama seperti mana waktu awal saya berlakon dulu, sedangkan saya kini sudah hampir 30 tahun dalam bidang lakonan.

    “Ini bukan soal demand, cuma janganlah terlalu merendah-rendahkan pelakon lama macam saya, sebaliknya hargailah bakat dan pengalaman yang kami ada,” ujar Syanie kepada media.

    Syanie tidak lama lagi bakal tampil mengubati rindu peminat menerusi filem terbaharunya, Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi. – Agensi

    Tidak hanya itu, tambah Syanie, dia juga tidak terkecuali berdepan trend tawaran yang menuntut jumlah pengikut tinggi di media sosial, berbanding kemampuan lakonan yang ada pada seseorang pelakon itu.

    “Sebelum ini saya ada mendapat tawaran berlakon bayaran dan wataknya sesuai, namun ditolak oleh stesen TV pula kerana katanya saya tidak mempunyai jumlah pengikut media sosial yang ramai. Mungkin mereka fikir saya tak dapat menarik penonton atau menaikkan rating dengan jumlah pengikut yang tidak mencapai piawaian, tapi saya OK saja kerana itu hak mereka.

    “Jadi itulah sebab kenapa saya lama tak berlakon dan lebih banyak menumpukan perhatian kepada perniagaan makanan yang saya buat sekarang,” katanya yang aktif berniaga piza hasil air tangannya sendiri.

    Bagaimanapun kata Syanie, tidak lama lagi dia bakal tampil mengubati rindu peminat menerusi filem terbaharunya, Hantu Kuat Ketawa, yang akan memulakan penggambaran pada pertengahan Januari depan.

    “Alhamdulillah setelah lama menunggu, akhirnya dapat juga tawaran yang betul-betul meletakkan bakat saya mendahului segala-galanya.

    “Rasa terharu dan dalam masa sama teruja untuk kembali beraksi kerana memang dah lama tidak berlakon filem sampai lupa bila filem terakhir lakonan saya,” luahnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda