BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa senarai kursus dan syarat-syarat kelayakan bagi Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke luar negara bagi sidang akademik 2021/2022 telah pun dikeluarkan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, permohonan bagi mendapatkan biasiswa kerajaan ke luar negara dijangka akan dibukakan pada Februari 2021 melalui laman sesawang HECAS. Senarai kursus dan syarat-syarat kelayakan bagi biasiswa berkenaan boleh dimuat turun dari laman web rasmi Kementerian Pendidikan, www.moe.gov.bn. Untuk keterangan lanjut mengenai syarat-syarat bolehlah merujuk ke Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Blok C Tingkat 5, Kementerian Pendidikan atau menghubungi talian 2380019 atau melalui e-mel scholarship@moe.gov.bn.