Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Syarat-syarat kemasukan ke Negara Brunei Darussalam bagi mereka yang dibenarkan masuk ke negara ini telah dikemaskinikan, antaranya tempoh pengasingan yang lebih singkat dan vaksinasi COVID-19 yang lengkap berkuat kuasa 15 Oktober 2021.
Perubahan syarat-syarat itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Menurutnya, bagi kemasukan ke negara ini, ujian RT-PCR bagi SARS-CoV-2 yang dipersyaratkan kepada sesiapa yang hendak memasuki negara ini hendaklah dilakukan tidak lebih daripada 48 jam (calitan pra-pelepasan) sebelum bertolak ke negara ini.
Ia dikenakan kepada sesiapa sahaja yang hendak masuk ke negara ini sama ada rakyat negara ini atau orang asing.
Syarat lain kemasukan hendaklah lengkap vaksinasi COVID-19 bagi dos kedua diperolehi lebih 14 hari daripada tarikh kemasukan ke negara ini manakala tempoh pengasingan diri mandatori di hotel pengasingan bagi jangka masa satu hingga tujuh hari, tertakluk kepada penilaian risiko terhadap negara yang baru mereka tinggalkan.
“Mereka juga dikehendaki untuk memuat naik status dan bukti vaksinasi mereka ke dalam sistem permohonan Deklarasi Ketibaan bagi rakyat atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam atau Entry Travel Pass bagi warganegara asing,” jelas beliau. Walau bagaimanapun, tempoh pengasingan diri singkat itu adalah tertakluk kepada beberapa perkara seperti jenis vaksin, ujian swab RT PCR bagi SARS-CoV-2 negatif yang dilakukan tidak lebih dari 48 jam sebelum bertolak ke negara ini dan juga ujian kedua RT-PCR bagi SARS-CoV-2 setelah tiba di negara ini. Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengingatkan bahawa pertimbangan bagi permohonan-permohonan kemasukan warganegara asing ke negara ini pada masa ini adalah hanya bagi essential travel iaitu urusan yang mustahak sahaja.
“Walau bagaimanapun, bagi me-reka yang tidak mempunyai vaksinasi yang lengkap, termasuk mereka yang dos keduanya adalah kurang dari 14 hari daripada tarikh ketibaan ke negara ini akan diperlukan menjalani pengasingan diri mandatori di hotel-hotel mengikut tatacara yang ada pada masa sekarang,” tambah Yang Berhormat Dato.