Syarikat, 8 individu didenda buang sampah di tempat awam

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Sebuah syarikat dikenakan kompaun $200 dan lima orang individu dikenakan kompaun sebanyak $100 setiap seorang setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) dan Bab 12 (1) (d) kerana membuang sampah seperti bekas barang elektrik, bekas papan gipsum dan puntung rokok di tempat awam di kawasan Kampung Bunut dan sekitar Kampung Serusop.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di sini, hari ini, syarikat dan lima individu iaitu dua orang warga Thailand, seorang warga India, seorang warga Bangladesh dan seorang penduduk tetap didapati melakukan kesalahan berkenaan semasa Pemantauan Kebersihan Rutin Harian Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

Manakala itu, dalam Operasi Pajah 1/2020 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, tiga individu iaitu dua orang warga tempatan dan seorang warga Malaysia dikenakan kompaun setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil kerana membuang puntung rokok dari kenderaan di Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Jalan Kampung Kiulap dan kawasan Jalan Tasek Lama.

Kenyataan menyatakan bahawa dalam kes itu, individu-individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dalam tempoh tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes itu dihadapkan ke mahkamah.