LONDON, 18 SEPT – Pelaburan bernilai £150 bilion (AS$205 bilion) dari Amerika Syarikat diumumkan bersempena lawatan negara Presiden Donald Trump ke Britain, lapor PA Media/dpa.
Menurut kerajaan Britain, suntikan pelaburan itu akan mewujudkan kira-kira 7,600 pekerjaan ‘berkualiti tinggi’ di seluruh negara.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyambut baik pengumuman terbabit menjelang perbincangan peringkat tinggi dengan Trump hari ini di Chequers, kediaman rasmi luar bandar perdana menteri.
“Apabila kami menyokong kecemerlangan Britain, memperjuangkan industri bertaraf dunia dan menjalin hubungan global yang lebih mendalam terutama dengan rakan seperti AS, kami membantu membentuk masa depan generasi akan datang serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Pelaburan ini mencerminkan kekuatan ekonomi Britain dan menjadi isyarat jelas bahawa negara kita terbuka, bercita-cita tinggi dan bersedia memimpin.

“Pekerjaan, pertumbuhan dan peluang adalah janji saya kepada golongan pekerja, dan inilah yang disampaikan oleh lawatan negara ini,” kata Starmer.
Antara firma yang terlibat ialah syarikat pengurusan aset Blackstone, yang akan melabur £90 bilion, selain tambahan £10 bilion yang diumumkan sebelum ini untuk membangunkan pusat data.
Firma lain termasuk syarikat pelaburan Prologis dengan komitmen £3.9 bilion, serta syarikat perisian Palantir dengan pelaburan £1.5 bilion.
Aliran pelaburan baharu dari AS itu hadir ketika Starmer dan Trump dijangka menandatangani perjanjian teknologi hari ini.
Antara tokoh korporat AS yang hadir pada jamuan di Istana Windsor ialah Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, dan Ketua Eksekutif OpenAI, Sam Altman.
Mesyuarat Starmer-Trump turut dijangka membincangkan langkah lain untuk memperkukuh hubungan ekonomi Britain dan AS. – Bernama

