Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat AS tarik balik produk coklat GKI Foods

    WASHINGTON, 31 Okt – Sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) telah menarik balik produk berkaitan coklat keluarannya selepas mengesan kewujudan alergen (bahan yang berupaya menyebabkan alergi atau alahan) “yang boleh mengancam nyawa,” lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa pada Isnin.

    Sejumlah 21 produk GKI Foods, yang menggunakan coklat pekat sebagai bahan utama, berada dalam senarai itu.

    “Kesemua produk ini mungkin mengandungi alergen susu yang tidak diisytihar. Orang ramai yang mempunyai alergi atau sensitiviti teruk kepada alergen susu berisiko mendapat reaksi alergik yang serius atau boleh mengancam nyawa jika mereka mengambil atau makan produk ini,” kata satu notis yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA).

    “Langkah penarikan balik dimulakan selepas mendapati produk menggunakan coklat pekat dan mengandungi alergen susu itu diedarkan dalam bungkusan yang tidak mendedahkan kehadiran alergen susu tersebut,” kata notis itu.

    Kesemua produk mungkin telah diedarkan oleh pelbagai peruncit di 27 negeri di AS, kebanyakannya di bahagian timur Amerika Syarikat.

    Orang ramai yang telah membeli produk itu digesa memulangkannya.

    Bagaimanapun, FDA berkata setakat ini tiada penyakit akibat pengambilan produk itu dilaporkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda