SYDNEY, 18 MEI – Syarikat Australia, Lynas Rare Earths, mengumumkan bahawa mereka kini menjadi pengeluar komersial pertama di luar China bagi logam nadir bumi berat, yang digunakan dalam pelbagai teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Lynas memaklumkan bahawa pihaknya telah berjaya menghasilkan disprosium oksida di fasiliti baharu mereka di Malaysia, sekali gus menawarkan sumber bukan dari China buat pertama kalinya kepada pelanggan global.
“Lynas kini merupakan satu-satunya pengeluar komersial produk logam nadir bumi berat yang telah diasingkan di luar China,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan memberi pelanggan pilihan untuk mendapatkan produk dari pembekal luar China.
Lynas dijangka mula menghasilkan satu lagi logam nadir bumi, terbium, pada bulan Jun ini.
Syarikat itu turut menjangka harga produk mereka akan mencerminkan permintaan tinggi terhadap logam nadir bumi yang diperoleh dari luar China.
China sebelum ini telah melarang eksport teknologi pemprosesan logam nadir bumi yang boleh membantu negara pesaing, dan turut dituduh menggunakan kuota yang dikenakan oleh kerajaan untuk mengawal bekalan global.
Bagi mengurangkan kebergantungan kepada China, kerajaan Amerika Syarikat telah meluluskan kontrak bernilai AS$258 juta kepada Lynas untuk membina sebuah loji penapisan baharu di Texas.
Lynas kini mengendalikan lombong logam nadir bumi Mount Weld di Australia Barat dan fasiliti pemprosesannya di Malaysia. – AFP