BARCELONA, 28 FEB – Mobile World Congress (MWC) membuka tirainya di Pusat Persidangan Antarabangsa Barcelona, Sepanyol, kelmarin.
Lebih 2,000 syarikat dari lebih 200 negara dan wilayah dijangka berbincang mengenai trend baharu, produk terkini dan teknologi terbaharu dalam industri komunikasi mudah alih, selain bertukar-tukar pendapat mengenai pelbagai isu berkaitan industri berkenaan.
Syarikat-syarikat terkemuka China akan menyertai persidangan berkenaan dengan memperkenalkan teknologi dan produk terkini yang menjadi tumpuan.
Bertemakan Velocity: Unleashing tomorrow’s technology today, agenda MWC edisi kali ini akan memberi fokus kepada pemecutan 5G, rangkaian terbuka (OpenNet), sains dan teknologi kewangan, pendigitalan dan lain-lain.
Beberapa syarikat dari China seperti China Mobile, China Unicom, China Telecom, Huawei, ZTE, Xiaomi, dan OPPO menjadi tumpuan dalam MWC kali ini susulan terdapat unsur teknologi canggih 5G yang turut digunakan secara meluas termasuk di pelabuhan pintar, serta perlombongan. – Bernama