Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat diarah berpindah, beroperasi di zon industri

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Kegiatan perusahaan penyimpanan barang pembinaan dan jentera berat tanpa kebenaran yang terletak di Kampung Serasa, Mukim Serasa telah diarahkan untuk menghentikan aktiviti kerana melanggar Seksyen 23(2), Akta Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 iaitu menjalankan kegiatan tanpa Kebenaran Perancangan.

    Menurut kenyataan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), kegiatan tersebut dijalankan di atas tanah bersyaratkan pertanian am dalam zon perumahan yang tidak sesuai untuk tujuan perusahaan seperti itu.

    Kegiatan itu telah mengganggu penduduk kawasan perumahan berhampiran, berpotensi menyebabkan bahaya dan menyebabkan kerosakan jalan raya di dalam kawasan tersebut.
    Oleh itu, kegiatan tersebut hendaklah dijalankan di dalam zon perusahaan yang disiapkan dengan pelbagai prasarana untuk menampung kegiatan berkenaan.

    Selepas pemantauan dan pemeriksaan rutin dilakukan, pemilik tanah didapati telah mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menghentikan aktiviti dan membersihkan kawasan tersebut dan syarikat itu telah berpindah dan beroperasi di zon industri yang telah
    dikhaskan.

    Pemajuan dan perubahan penggunaan tanpa Kebenaran Perancangan boleh menyebabkan bahaya dan menjejaskan keselamatan orang ramai.

    Orang ramai juga diingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Seksyen 23 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa Kebenaran Perancangan.

    Kegagalan dalam mematuhi arahan boleh dikenakan denda sepertimana di dalam Seksyen 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000 dan dalam hal kesalahan yang berterusan dikenakan suatu denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi talian hotline JPBD di 8200222.

    ATAS & BAWAH : Gambar menunjukkan kegiatan perusahaan sebelum dan selepas dibersihkan dan berpindah di zon industri yang telah dikhaskan. – GAMBAR SERAHAN JPBD
    GAMBAR SERAHAN JPBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda